KUALA LUMPUR – Sungguh memukau sekali melihat seorang remaja berusia 15 tahun, Yaashwin Sarawanan yang mampu membuat pengiraan matematik secara pantas tanpa menggunakan kalkulator.
Malah apa yang menakjubkan, Yaashwin hanya memerlukan beberapa saat sahaja untuk mengira walaupun diberi soalan matematik melibatkan angka-angka besar dan rumit.
Yaashwin dengan mudah sahaja mengira apa sahaja angka yang diberi – tidak kira tambah, tolak, darab atau bahagi tanpa teragak-agak malah pantas daripada kalkulator.
Sesuai sekali gelaran manusia kalkulator kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 itu yang bakatnya menjadi sebutan selepas menyertai Asia’s Got Talent baru-baru ini.
Dalam pertandingan itu, Yaashwin berjaya melepasi peringkat pertama dan sudah mara ke peringkat akhir yang akan diadakan di Singapura pada 4 April ini.
Ketika ditemui hari ini, Yaashwin dengan rendah diri mengakui dirinya bukan dalam kalangan genius seperti yang disebut-sebut.
Malah kata Yaashwin kepada Malaysia Gazette, dirinya pernah mendapat markah seperti B dalam subjek Matematik dan bukan markah 100 peratus seperti yang disangka-sangka setengah pihak.
Bezanya, anak sulung itu mengakui dirinya cukup teruja dengan nombor.
Selepas menyertai kelas Aritmetik Mental-Abakus seawal usia tujuh tahun lagi inisiatif ibunya, Kamala Devi seorang suri rumah.
“Kedua-dua ibu bapa saya merupakan dorongan terbesar dalam hidup sehingga saya berjaya mencari bakat atau kemahiran kiraan pantas ini.
“Pada usia tujuh tahun lagi, ibu telah menghantar saya ke kelas arimetik mental dan abakus. Mengira menggunakan minda.
“Saya tidak ada apa-apa bakat luar biasa ketika itu. Itu sahaja sesuatu yang saya belajar dan sedar dengan kebolehan itu apabila mula mengikuti kelas dan cepat memahami apa yang dipelajari. Ia nampak lebih senang kerana saya mula suka angka.
“Saya mengira menggunakan minda dan terus mengasah sendiri walaupun setelah berhenti mengikuti kelas tersebut ketika berusia 11 tahun, saya terus amalkan apa yang saya pelajari, ianya sesuatu yang dilakukan oleh saya sendiri saban hari.
“Sekurang-kurangnya untuk 10 minit, saya akan amalkan kiraan minda. Itu sahaja. Malah idea untuk menyertai Asia’s Got Talent ini bukan sesuatu yang telah dirancang, saya sebenarnya keliru ketika itu.
“Adakah ini adalah bakat atau hanya sekadar kemahiran yang saya miliki? Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa khasnya bapa sangat menyokong hajat saya untuk serta pertandingan ini malah sanggup ‘berkorban’ mengambil cuti panjang demi saya.
“Saya juga tidak bermati-matian untuk menang pertandingan ini sebaliknya rasa bangga dan teruja kerana berjaya juga menyertai sesuatu yang mampu mengharumkan nama negara, ibu bapa serta sekolah saya. Itu sahaja dalam minda dan cukup teruja,” katanya lagi.
Yaashwin yang memperkenalkan diri sebagai ‘Manusia Kalkulator’ mengejutkan juri program iaitu pemenang anugerah Grammy dan produser muzik, David Foster, penyanyi antarabangsa, Anggun dan artis popular Korea-Amerika, Jay Park pada pertandingan tersebut.
Video uji bakat Yaashwin turut ditonton lebih sejuta penonton dari semua pelusuk dunia juga melahirkan rasa terkejut dengan bakat luar biasa pelajar India ini.
Menerusi sistem pengundian penonton, Yaashwin berjaya untuk mara ke peringkat akhir Asia’s Got Talent yang akan berlangsung pada 4 April ini di Marina Bay Sands, Singapura.
Ia sekali gus membuka langkah buat Yashwin untuk mendapatkan hadiah lumayan sebanyak $100,000 (RM450,000).
Jelas Yaashwin lagi, seseorang itu tidak sepatutnya sesekali merasa rendah diri atau ragu-ragu serta tidak yakin dengan bakat atau kemahiran yang dimiliki sebaliknya perlu berusaha untuk mengasah bakat tersebut.
“Saya juga dalam kalangan ‘biasa-biasa’ tetapi mungkin kerana minat mendalam terhadap nombor menyebabkan saya terus mengembangkan minat kepada bakat sebelum mencuba nasib dengan menyertai pertandingan antarabangsa.
“Saya juga ingin berikan tips kepada mana-mana yang minat nombor atau matematik, jangan selalu gunakan kalkulator. Zaman teknologi ketika ini menyebabkan rata-rata daripada kita suka sangat bergantung kepada alat-alat serta gajet.
“Jangan selalu gunakan kalkulator sebaliknya gunakan minda, percayalah anda akan dapat lihat keajaiban yang sungguh luar biasa, mungkin juga menjadi ketagih dengan nombor serta penguasaan minda,” ujarnya.
Yaashwin juga menjanjikan ‘kelainan’ bagi pusingan akhir Asia’s Got Talent kali ini dan yakin ianya juga mampu memberikan impak kepada penonton.
Dalam pada itu, ketika sempat berbual dengan bapa Yaashwin, Sarawanan yang bekerja sebagai pemandu pelancong itu juga melahirkan rasa teruja serta bangga melihat pencapaian anaknya.
“Pada saya, Yaashwin merupakan seorang anak yang tidak banyak kerenah sebaliknya lebih suka bergantung harap pada dirinya sendiri serta tidak kenal putus asa.
“Kami sendiri tidak tahu mampu sampai ke tahap ini tetapi sokongan kami akan terus tidak berbelah bahagi,” katanya. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/29/yaashwin-manusia-kalkulator-mencetuskan-keterujaan/