Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bersalaman dengan sebahagian penyokong ketika hadir pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sendayan, Negeri Sembilan. foto AFFAN FAUZI, 30 MAC 2019.

PRK RANTAU – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak gentar dengan penglibatan sepenuh masa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri kempen Pakatan Harapan (PH).

Menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, kehadiran nama besar dalam PKR itu tidak mengancam peluang beliau mempertahankan kerusi Rantau.

“Saya tak ada memandang itu sebagai sesuatu ancaman ataupun tidak tapi apa yang saya minta supaya kita berkempen secara sihat, kita berkempen kerana kita nak menegakkan amalan demokrasi di negara kita.

“Semua orang ada peluang dan boleh kempen dan kempen secara sihat supaya tidak ada isu yang boleh buat keadaan keharmonian di Rantau yang berbilang kaum terganggu gugat, siapa sahaja boleh kempen,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon BN oleh SPR dekat Seremban hari ini.

Anwar dilihat cuma menjadi juara apabila menyatakan hasrat berkampung di Rantau bagi memastikan calon partinya, Dr. S. Streram menang.

Kerja kuat Anwar itu bagi memecah kekalahan DAP di PRK Parlimen Cameron Highlands dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di PRK DUN Semenyih.

Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul yakin pengaruh Anwar mampu menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, rakyat tidak boleh menyamakan kekalahan PH di PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih sebelum ini dan dijadikan kayu pengukur kerana secara tradisi kerusi DUN Rantau ditandingi PKR.

“Sekarang rakyat berada dalam mood yang melihat Anwar sebagai pemimpin yang bakal mengambil alih pentadbiran negara, jadi kita ada kelebihan Anwar iaitu individu yang bekerja keras untuk rakyat.

“Kita tidak boleh melihat bahawa kita kalah di Cameron Highlands dan Semenyih (sebagai penanda aras) sebab dua kerusi itu bukan milik PKR kerana di Rantau ini memang kerusi PKR dan rakyat akan memberi sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad tidak menilai bahawa PRK Rantau adalah perlawanan sebenar baginya setelah diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei lalu.

“Saya tak kata pertandingan sebenar atau tidak tapi alhamdulilah PH beri peluang kepada calon tak dapat masuk tempoh hari kerana masalah teknikal.

“Ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa ulangan PRU lepas tempoh hari. Kita tengok nanti,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast