Veteran politik, Tan Sri Rais Yatim berkata, tidak molek untuk kes seperti ini dibiarkan tertangguh sehingga enam bulan kerana akan meremehkan sistem perundangan negara.
Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Peguam Negara didakwa terburu-buru apabila membuat keputusan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengambil Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Tindakan Tommy Thomas itu telah mewujudkan kecelaruan dalam dua aliran pendidikan.

Ini kerana, kata Tan Sri Rais Yatim, dalam pendidikan undang-undang Peguam Negara telah mengiktiraf UEC, sedangkan dalam sistem vernakular keputusan belum dilakukan lagi.

Kementerian Pendidikan kini masih menjalankan kajian peringkat akhir berhubung pengiktirafan sijil itu yang dijangka diserahkan pada Julai ini.

“Anda sepatutnya menunggu sehingga kerajaan membuat pilihan yang betul,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Kenyataan itu adalah notis bantahan yang dikemukakan kepada Tommy selepas Peguam Negara itu secara unilateral mengiktiraf UEC bagi sijil profesional undang-undang.

Beliau berharap Tommy sedar akan risiko kenegaraan dan keutuhan pendidikan nasional di atas keputusan yang telah diambil.

Rais turut mempersoal mengapa Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengekploitasi kedudukan Tommy apabila mengumumkan keputusan Peguam Negara berhubung pengiktirafan UEC.

“Orang ramai mendakwa permainan politik partisan anda semakin kuat apabila Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo mengumumkan bagi pihak anda bahawa AG memberi pengiktirafan UEC dalam pendidikan undang-undang.

“Anda tidak sepatutnya membiarkan Teo mengeksploitasi kedudukan anda,” tegas Rais yang menyifatkan tindakan Tommy itu sudah menjadi isu politik yang jelas dan ia sukar untuk dipertahankan.

Rais menambah, waktu ini bukanlah kondusif bagi Peguam Negara untuk terjebak dalam kontroversi seperti ini.

Sepatutnya, Peguam Negara perlu menunggu Kementerian Pendidikan menyelesaikan perbincangannya.

“Kemudian buat keputusan selepas berunding dengan Kabinet,” ujarnya. – MalaysiaGazette