Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah keras tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menganggap setaraf dengan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) bagi menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

Ketua Penerangannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, keputusan itu dianggap sebagai tidak masuk akal dan melanggar sistem sedia ada, selain tidak menghormati bahasa kebangsaan di bawah Fasal 153.

Beliau menjelaskan, selama ini kelonggaran menggunakan bahasa Inggeris sudah cukup mencabar kewibawaan mahkamah dan adakah perlu selepas ini bahasa lain pula diberi kelonggaran kerana kelemahan dalam berbahasa Melayu.

Semua pihak, katanya mengetahui Bahasa Melayu bukan bahasa pengantar utama dalam silibus pendidikan UEC.

“Sampai bila kita mahu memberikan kelonggaran begini. Sepatutnya jika kita tidak mahir, kita belajar dan berusaha meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu.

“Bukankah Fasal 151 dan 152 menetapkan segala urusan rasmi kerajaan wajib menguna bahasa kebangsaan,” ujar beliau dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.

Sabtu lepas, Tommy yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia dilaporkan berkata, PSAG akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 mulai 1 Januari 2021.

Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat 8 Mac lalu yang menetapkan syarat menduduki PSAG bagi pemegang sijil kelayakan UEC mesti lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 bermula 2021.

Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan menjelaskan, keputusan itu tidak boleh diputuskan sesuka hati oleh Peguam Negara dan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.

Sebaliknya, ia perlu dibincangkan penggubal dasar dari peringkat Parlimen kerana melibatkan Dasar Pendidikan Negara (DPN).

“Keputusan menidakkan DPN ini juga memperlihatkan Peguam Negara dan rakan sekutunya cuba menyamatarafkan kedudukan Lembaga Peperiksaan Malaysia dengan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong).

“Dengan jawatan dimilikinya, Peguam Negara cuba menjadi wira kepada kaum tertentu dengan usaha menempatkan lebih ramai orang bukan Melayu dalam profesion guaman.

“Kecelaruan kuasa dimiliki dengan cubaan mengatasi kuasa Menteri Pendidikan ini mencerminkan kelemahan dan tahap kelayakan sebenar beliau, yang tidak layak memegang jawatan tersebut,” ujarnya.

Beliau menempelak Peguam Negara membuat keputusan seolah sebagai Menteri Pendidikan dan sebaiknya Dr. Maszlee Malik meletakkan jawatan.

Beliau turut hairan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil sikap berdiam diri dengan tindakan dan keputusan Peguam Negara itu.

“Perkara ini sepatutnya ditegur oleh kepimpinan kerajaan PH khususnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang jelas dalam matlamat penubuhannya ingin memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Menteri Pendidikan seharusnya cakna dengan isu penerimaan UEC dalam sistem pendidikan yang jelas melanggar Dasar Pendidikan Negara.

“Jangan terus berdiam diri dan dibonekakan oleh DAP. Timbalan Menteri Pendidikan yang dengan pantas memberi respon gembira akan pengumuman tersebut jelas menunjukkan hal ini merupakan agenda terancang,” katanya.

Kata Nasrul Ali Hasan, dengan pengiktirafan itu, maka tercatatlah satu lagi sejarah hitam dalam sistem Dasar Pelajaran Kebangsaan dan menodai bahasa kebangsaan yang tercatat dalam Fasal 153 yang merupakan Asas Perlembagaan Negara.

“Ianya bukan soal UEC diiktiraf oleh lain-lain institusi luar negara, tetapi di mana letaknya asas lulus kepujian Bahasa Melayu dalam Sijil Persekolah Malaysia (SPM) sebagai syarat untuk semua urusan?

“Apakah Peguam Negara tidak memahami atau sengaja melanggari Asas Perlembagaan Negara dan Aspirasi Nasional.

“Perkasa dengan tegas menolak UEC selagi tidak selari dengan Asas Perlembagaan Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan bahasa kebangsaan yang sepatutnya menjadi alat integrasi nasional serta identiti negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette