ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada pagi Selasa, dipacu oleh aktiviti belian saham-saham wajaran tinggi terpilih seperti kaunter perladangan dan kewangan.

Pada 9 pagi, indeks penanda aras itu menokok 7.21 mata kepada 1,635.87 berbanding 1,628.66 sewaktu ditutup pada Isnin.

Sewaktu dagangan dibuka, indeks petunjuk utama itu naik 5.17 mata kepada 1,633.83.

Selain itu, di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 169 berbanding 42 manakala 147 kaunter tidak berubah, 1,498 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 94.70 juta saham bernilai RM31.61 juta.

Menurut peniaga, bursa tempatan itu mengakhiri kerugian yang dicatat pada Isnin apabila dibuka lebih tinggi merentasi semua papan dan menjejaki prestasi positif pasaran serantau.

“Persepsi optimis berhubung kemungkinan perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta data ekonomi China yang lebih baik daripada jangkaan, ternyata mendorong pergerakan di Bursa Malaysia,” kata peniaga itu.

Sementara itu MIDF Research menerusi nota penyelidikannya mengekalkan unjurannya terhadap pertumbuhan Malaysia bagi 2019 melebihi 4.0 peratus walaupun Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia yang diumumkan semalam adalah rendah dalam tempoh tiga bulan selain menunjukkan penyusutan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dalam suku pertama tahun ini.

“Penyusutan PMI adalah disebabkan oleh pengeluaran dan permintaan yang suram di tengah-tengah ketidaktentuan dagangan global. Rundingan dagangan AS-China yang kini disambung semula serta ketidakstabilan politik di EU adalah antara faktor penyumbang kepada persekitaran perdagangan yang tidak menentu.

“Namun, dari sudut lain, data terkini PMI itu turut memaparkan sikap optimis kalangan pengilang Malaysia terhadap prospek masa depan dan input harga kekal pada paras stabil.

“Bagi kemajuan masa depan, kami menjangkakan pemulihan ekonomi yang sederhana untuk Malaysia pada suku kedua 2019, didorong oleh peningkatan berperingkat harga komoditi, impak perang dagangan AS-China yang kian reda serta permintaan domestik yang lebih kukuh.

“Malah, keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedah pada tahun ini juga dilihat akan mendorong peningkatan pasaran sedang pesat membangun pada 2019 dan turut memacu permintaan global,” kata firma penyelidikan itu.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lapan sen kepada RM9.28, Public Bank untung 14 sen kepada RM22.62, PetChem menokok tiga sen kepada RM9.15 manakala Tenaga naik empat sen kepada RM12.66.

Bagi saham aktif, Talam Transform dan Bumi Armada masing-masing untung satu sen kepada lima sen dan 19.5 sen, Alam Maritim naik empat sen kepada 15.5 sen namun Malayan Flour sebaliknya tidak berubah pada 82.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 40.67 mata kepada 11,521.07, Indeks FBMT 100 meningkat 45.22 mata kepada 11,373.52 manakala Indeks FBM Emas Syariah menambah 26.12 mata kepada 11,699.06.

FBM 70 pula meningkat 36.75 mata kepada 14,251.62 dan Indeks FBM Ace naik 23.17 mata kepada 4,847.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 106.69 mata kepada 16,844.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.32 mata kepada 169.07 manakala Indeks Perladangan meningkat 38.56 mata kepada 7,226.70. – MalaysiaGazette