Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Bukan sekadar lemah kemahiran komunikasi dalam kalangan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), mereka juga lemah dari aspek polisi.

Ahli Parlimen Sembrong (BN), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, kebanyakan polisi PH merupakan idea kerajaan terdahulu tanpa mengetengahkan perkara baharu.

“Bukan hanya komunikasi tetapi juga polisi mereka perlu beri yang jelas, kredibiliti dan membuatkan kedudukan mereka jelas.

“Kementerian Pertahanan, contohnya suatu yang telah diumum hanya dipakejkan semula polisinya yang kita (BN) telah buat 10 bulan yang lalu, tidak ada yang baharu untuk ketenteraan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin bahawa kemahiran komunikasi menteri kerajaan membuatkan Pakatan Harapan tidak disukai rakyat.

Tambah Hishamuddin, percanggahan kenyataan menteri PH juga sering menimbulkan kekeliruan yang akhirnya membuktikan mereka tidak mempunyai koordinasi mengakibatkan pelabur asing tidak yakin terhadap negara.

“Setakat hari ini saya tengok tidak memuaskan, percanggahan kenyataan antara menteri tiada koordinasi antara mereka menyebabkan orang keliru. Dan pelabur asing nak masuk ke negara kita pun akan fikir dua tiga kali kerana konsistensi dalam pendirian dasar tidak jelas. Itu mesti dibetulkan,” katanya.

Mengulas lannjut bekas Menteri Pertahanan itu berkata, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’19) baru-baru ini membuktikan kerajaan gagal mengumumkan sesuatu yang memberi kebaikan pada masa depan.

“Saya tengok secara peribadi tak ada apa-apa yang diumumkan yang boleh bantu kita dalam industri, peruntukan dah dikurangkan apa nak beli,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast