Mohamad Hasan

SEREMBAN – Janji bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun untuk menghadiahkan dua ekor kambing untuk kenduri jika Barisan Nasional menang adalah salah.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menjanjikan sesuatu kepada pengundi adalah salah di bawah undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Itu salah, tidak boleh janji macam tu. Itu dia janji lantak dialah. Nanti dia kita ‘kambingkan’,” katanya dalam sidang media hari di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN, hari ini.

Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau itu mengulas kenyataan Idris yang menjanjikan dua ekor kambing kepada pengundi di Taman Angsama.

Perkara itu dijanjikan Idris di hadapan pengundi sekiranya Mohamad mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram dengan 300 undi.

Berdasarkan data peringkat Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN tewas kepada PKR di Angsamas dengan majoriti 22 undi.

“Kalau menang 300 undi saya datang, saya sponsor dua ekor kambing untuk kenduri di Taman Angsamas,” kata Idris.

Idris kemudiannya berkata, kenduri itu tidak akan diadakan pada masa ini.

“Bukan saya bagi kambing sekarang, kemudian undi Tok Mat, tidak.

“Bila dah undi Tok Mat nanti, bila dah menang (baru bagi). Saya datang balik, saya bawa dua ekor kambing siap dengan janggut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast