Prof Dr Ismail Bahari

KUANTAN – Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya kilangnya di Gebeng di sini terletak jauh daripada tapak operasi perlombongan bauksitnya.

Pengurus Besar Keselamatan, Peraturan dan Pematuhan Lynas Prof Dr Ismail Bahari berkata sebelum pelaksanaan moratarium, operasi perlombongan bauksit dilaksanakan berhampiran dengan kawasan kilangnya.

“Malah, dua ruang perlombongan bauksit yang digunakan sebelum ini terletak dalam jarak sekitar 1km dari kilang Lynas Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia Pahang Noor Jehan Abu Bakar yang dilaporkan media sebagai berkata lombong bauksit dan simpanannya terletak jauh daripada kilang Lynas.

Isu jarak perlombongan bauksit dibangkitkan selepas Lynas dilaporkan memberi pandangan bahawa aktiviti perlombongan bauksit di sini boleh menjadi punca pencemaran air bawah tanah berhampiran kilangnya.

Jawatankuasa semakan eksekutif yang dilantik oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam laporannya yang dikemukakan pada Disember 2018, mencadangkan penyelidikan lanjut dilakukan terhadap penemuan tahap logam berat di dalam air bawah tanah.

Menurut Ismail jawatankuasa yang mengandungi pakar dalam pelbagai bidang itu juga tidak menunding jari kearah Lynas berhubung penemuan itu.

Ismail berkata sejak memulakan operasinya pada tahun 2012, Lynas menerima lebih 17,000 pelawat ke kilangnya, dan lebih ramai lagi kalangan mereka yang ingin tahu mengenai operasi Lynas supaya tampil untuk melawat kawasan kilangnya.

“Kami terus berharap agar semua yang menganggotai pelbagai jawatankuasa parlimen yang berkaitan untuk menerima undangan kami bagi melawat kawasan kilang atau bertemu dengan pihak pengurusan kami bagi memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat mengenai operasi kami,” katanya.

— BERNAMA