Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di BN Command Centre, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2019

PRK RANTAU – Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung perubahan jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bakal memberi faedah kepada Negeri Sembilan disifatkan melanggar Akta Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya memanggil Ahli Parlimen Bagan itu untuk siasatan lanjut.

“Projek ini banyak diperkatakan dan menteri-menteri berkaitan juga telah buat kenyataan. Ada yang katakan dibatalkan ada pula kata masih dikaji, macam-macam.

“Tetapi menyatakan semasa PRK ini saya rasa menyalahi peraturan pilihan raya. Terpulang kepada pihak SPR untuk menilai sama ada merupakan satu kesalahan peraturan pilihan raya ataupun tidak,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN hari ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diminta mengulas mengenai kenyataan Guan Eng bahawa Negeri Sembilan akan turut mendapat faedah sekiranya projek ECRL diteruskan.

Berkata di hadapan penyokong Pakatan Harapan (PH), Guan Eng menambah jika ECRL berjalan dengan kos yang lebih rendah, jajarannya akan berubah dan ia bagus untuk Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, ujar Mohamad sekiranya jajaran ECRL itu akan melalui Negeri Sembilan, lebih baik PH membina satu stesen di Rantau bagi memastikan PH menang pada 13 April depan.

“Sampai ke Rantau? Kenapa tak kata sampai ke Kuala Sawah, ada satu Kampung Stesen, elok berhenti di situ,” katanya sinis. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/06/guan-eng-bayangkan-berita-gembira-ecrl-untuk-penduduk-n-sembilan/