Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhadapan pertuduhan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abg Samsudin.

Rosmah dituduh menerima suapan itu melalui Rizal Mansor sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, pagi ini.

Hakim Azura bagaimanapun menetapkan jaminan RM1juta dengan seorang penjamin dengan mengguna pakai jaminan terdahulu.

Mahkamah Sesyen juga menetapkan 10 Mei ini sebagai sebutan kes semula mengenai pindahan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 15 November 2018, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Rosmah boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan agensi itu telah mendapat mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Rosmah sebelum itu ditahan SPRM pada jam 1.45 petang selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes solar pada pukul 1.40 petang semalam.

Beliau bagaimanapun dilepaskan kemudian dengan jaminan SPRM. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: