PRK RANTAU -Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli  tampil julung kali dalam kempen PRK Rantau malam tadi.

Berucap di hadapan lebih 1,200 pengundi dan penduduk beliau mendedahkan kenapa beliau tidak muncul selepas PRU-14.

Beliau mengakui kehilangannya dalam beberapa kempen PRK sebelum ini menjadi topik perbualan pembangkang yang menuduhnya ‘duduk dalam gua’.

Katanya, beliau mengambil keputusan berehat setelah berkempen pada PRU14 lalu.

“Ada orang Barisan Nasional dan Pas cakap lepas menang, Rafizi banyak tipu, dia sudah malu, duduk dalam gua takut keluar. Sebab itu tidak keluar ceramah.

“Saya tidak berceramah 10 bulan sebab saya nak rehat bersama keluarga dan anak anak juga saudara saudari,” katanya dalam ceramah  yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga menjelaskan beliau juga mengalami masalah kesihatan berkaitan hati.

“Saya bukan sakit hati kepada pembangkang atau kerajaan tuan-tuan tetapi saya memang ada sakit pada hati sebelum menjalani pembedahan dan doktor menasihati saya berehat secukupnya dan mengambil ubat.

“Bila sudah menang PRU-14, anak saya berusia lima tahun masuk tadika, kalau saya tak ambil masa dua tiga tahun rehat, saya tidak akan ada peluang tengok anak saya masuk sekolah,” ujarnya.

Berkaitan komplikasi pada hatinya, Rafizi berkata, doktor memaklumkan ada masalah keradangan hati dan ada ulser pada esofagus.

“Doktor juga menyuruh saya berehat selama dua tiga tahun namun sebab hanya ada tiga hari sahaja untuk kempen PRK, saya turun juga ke Rantau,” katanya.

Beliau menasihati pengundi pelbagai kaum supaya turun beramai ramai mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram pada Sabtu ini.

Kata Rafizi, adalah wajar pengundi PRK Rantau menyoal kenapa perlu undi Streram sedangkan PH didakwa tidak menunaikan janji dalam manifesto PRU-14.

Bagaimanapun beliau membandingkan contoh penyakit dan rawatan serta nasihat doktor
dengan tanggungjawab kerajaan baharu untuk memulihkan negara sebelum melaksanakan dasar dan janji janji PH.

Malah beliau juga mengakui menyuruh Streram turun berkhidmat di Rantau pada dua tahun lalu.

“Dia (Streram) terkejut dan menyoal apakah mampu lawan menteri besar (Datuk Seri Mohamad Hasan) tetapi saya menjelaskan takkan kawasan DUN kelapan negara yang mempunyai pengundi India ramai tetapi tidak diwaikili pemimpin India? Apa maknanya,” katanya.

Rafizi menegaskan,  jika Streram tidak menang pada Sabtu ini pun, beliau akan terus berkempen sehingga PRU-15.

“Kita kena memastikan kalahkan Pemangku Presiden UMNO yang bakal jadi PM kali ini,” sindirnya kepada calon BN PRK Rantau.- MalaysiaGazette