Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon PH, Dr. S. Streram (kanan) beramah mesra bersama sebahagian penduduk pada Santai Minum Pagi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Warung Nasi Lemak Kak Bedah, Felda Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2019.

SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap teguran Rafizi Ramli mengenai ketidakcekapan komunikasi menteri-menteri Kabinet adalah perkara biasa.

Presiden PKR itu berkata, isu itu tidak perlu diperbesar-besarkan dan diambil serius oleh mana-mana pihak.

Ini kerana, katanya, sejak membentuk kerajaan Persekutuan pada 9 Mei lalu, Pakatan Harapan menerapkan budaya bebas meluahkan pandangan, pendapat serta kritikan membina.

Beliau mahu budaya baharu yang membenarkan kritikan dan meluahkan pandangan diterima secara terbuka tanpa kegusaran.

“Macam semalam saya pun ada memberi teguran kepada menteri-menteri kita supaya bekerja kuat.

“Semalam jumpa Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi dan Multimedia) mengenai masalah mengakses Internet oleh rakyat, dia ok, terima baik beberapa pandangan dan saya minta dia teliti dan lakukan sesuatu yang baik (Internet).

“Itu teguran yang normal. Tidak perlulah jadi macam pemikiran UMNO lama..tegur sikit terus menjadi panik..biarlah.

“Ini budaya baharu(kerajaan PH) tegur sikit..beri pandangan.,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Felda Sendayan
pagi tadi.

Beliau bersama calon Pakatan Harapan Dr. S.Streram turun bertemu penduduk Felda Sendayan dalam program sarapan pagi bersama calon dan Anwar Ibrahim di sini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi yang menempelak menteri-menteri Kabinet Pakatan Harapan yang didakwa tidak mempunyai strategi Komunikasi yang baik.

Rafizi berkata demikian dalam Forum Melayu Terancam bertajuk Melayu kini lawan Melayu Kroni di Bandar Seri Sendayan malam tadi.

Menurutnya ketidakcekapan jemaah menteri PH yang gagal menjelaskan isu isu kepada rakyat mengakibatkan ia diserang oleh BN dan Pas.

“Walaupun media diberi kebebasan melaporkan berita sekarang, tetapi kamu berfikiran kerangka lama tegur..sikit-sikit sudah tidak setuju… itu tidak boleh,” ujarnya Ahli Parlimen Port Dickson.

Dalam pada itu ditanya mengenai dakwaan calon BN, Mohamad Hasan kononnya tindakan pemimpin PH yang mengeluarkan kenyataan bahawa bekas Menteri Besar itu mempunyai berkelebihan mempertahankan kerusi Rantau sebagai serangan ‘reverse’ psikologi.

Tok Mad berkata, ia cubaan untuk menghalang pengundi muda dan anak-anak Rantau yang bekerja di luar kawasan balik mengundi Sabtu ini.

Bagaimanapun yang yang diminta mengulas dakwaan itu berkata, itu tanggungjawab calon Streram untuk menjawab dan bukan beliau.

“Komen komen itu semuanya kepada calon, bukan tidak boleh komen sebab saya bukan calon.,” tegasnya sebelum meninggalkan warung makanan itu.- MalaysiaGazette