Dr. Dzulkefly Ahmad (duduk tengah) diiringi Dekan Fakulti Perubatan UM, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman (duduk dua kanan) bergambar bersama mahasiswa Fakulti Perubatan pada Majlis Perasmian Persidangan MEDxUM 2019 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Mungkin tanggapan kerja perubatan dan bergelar doktor itu sebenarnya ‘glamour’, mewah dan hebat serta menjamin masa depan menyebabkan segelintir ibu bapa memaksa anak mereka menceburi bidang itu.

Bagaimanapun, ada antara mereka yang sebenarnya bukan sahaja tidak berminat tetapi juga tidak memiliki kebolehan serta ketahanan fizikal serta mental untuk mengharungi bidang tersebut.

Disebabkan itu, rata-rata mereka akan gagal ketika latihan amali khasnya semasa tahun kedua kerana cabaran serta tugasan yang diberikan itu sukar ditangani hingga menyebabkan tidak berjaya menamatkan pengajian.

Selain itu, mereka juga mempunyai persepsi yang jauh berbeza daripada kehidupan seorang doktor dengan ketidakupayaan untuk bekerja lebih masa dan keletihan merupakan antara sebab-sebabnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melahirkan rasa bimbang dengan statistik lebih 30 peratus pelajar bidang berkenaan gagal menamatkan pengajian khasnya peringkat ‘housemanship’ atau doktor pelatih sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dr Dzulkefly yang amat prihatin melihat perkembangan itu sedang mendalami isu tersebut untuk mencari mekanisma lebih baik dari peringkat akar umbinya agar permasalahan ini dapat ditangani pada masa hadapan.

“Memang saya sangat bimbang melihat statistik yang lebih 32.8 peratus pelajar perubatan kita tidak berjaya tamat pengajian.

“Saya tidak pasti apakah punca kerana ada pelbagai faktor dalam isu ini.

“Tetapi bukan sahaja dari pihak kita, sebaliknya semua perlu bersama-sama menangani isu ini bersama-sama, dari tenaga pengajar sehingga ibu bapa dan juga pelajar itu sendiri. Kita sebenarnya sedang cuba tangani perkara ini dari pelbagai sudut ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan seharian ‘MedXUM 2019’ di Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya di sini hari ini juga dihadiri oleh hampir 500 pelajar perubatan.

MedXUM ini merupakan satu platform bagi menyediakan para pelajar perubatan ini platform untuk membincangkan tengang dunia perubatan sebelum bergelar doktor.

Ini kerana kerjaya tersebut bukan sesuatu yang mudah sebaliknya perlu mengharungi pelbagai rintangan semasa  pengajian dan latihan amali.- MalaysiaGazette