Datuk Seri Mohamad Hasan berpelukan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chuang Hua, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2019

SENDAYAN – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau walaupun pemimpin utamanya dilihat bekerja kuat untuk memenangkan calon mereka, Dr S Streram.

Dengan kemenangan itu, Najib berkata, pengundi Rantau jelas memilih kualiti calon berbanding karisme PH sebagai kerajaan Pusat.

“Faktor calon, ketokohan Mat Hasan jauh lebih bagus nilainya di kalangan pengundi berbanding dengan pecabarnya dari PKR.

“Walaupun pemimpin PKR datang turun kempen, akhirnya kualiti calon itu menunjukkan bahawa rakyat tahu memilih, siapa yang benar-benar mereka mahu sebagai ADUN di kawasan ini,” katanya selepas meraikan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau kekal sebagai wakil rakyat DUN itu selepas menewaskan Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi.

Dalam pada itu, Najib berkata pengundi Rantau sendiri berbisik kepadanya mengatakan mereka menyesal kerana membuat pilihan yang salah pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

“Di Rantau ada orang bisik di telinga saya sendiri, bahawa mereka telah membuat keputusan salah dulu? Kali ini mereka nak sokong BN.

“Ini menunjukkan bahawa , segala usaha kita, satu kekecewaan mereka, terhadap janji-janji yang telah dimungkiri PH,” katanya lagi. -MalaysiaGazette