Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam semakin jelas membuktikan betapa muaknya rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Isyarat rakyat memberikan kemenangan besar kepada Datuk Seri Mohamad Hasan dengan majoriti besar menunjukkan mereka sudah menolak PH secara beransur dan kembali menyokong BN.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat sedar PH tidak mampu membawa kemakmuran, malah membuatkan mereka hidup lebih menderita.

“Masyarakat luar bandar dan bandar terus dihimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, dan bagi mereka yang bergantung kepada produk komoditi, harga yang semakin merudum menambahkan lagi keperitan.

“Bagi peniaga kecil pula, kekurangan pendapatan rakyat menyebabkan mereka terpaksa berjimat dalam pembelian yang akhirnya perniagaan mereka terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua jentera UMNO dan komponen BN, Pas, NGO serta individu yang bekerja keras untuk kemenangan BN di DUN Rantau malam tadi.

Katanya, walaupun kempen pihak lawan agak agresif dengan cara memburukkan BN menerusi isu Tabung Haji, Felda dan serangan peribadi ke atas Mohamad, tetapi rakyat membuktikan mereka tidak sebodoh yang disangkakan oleh pemimpin PH.

“Sepanjang kempen khususnya beberapa hari sebelum tiba hari mengundi, PH cuba membuat pendedahan memburukkan BN, tetapi ianya tidak mengembalikan kepercayaan rakyat kepada PH.

“Serangan peribadi ke atas batang tubuh Tok Mat yang diharapkan berjaya, sebaliknya menambahkan kebencian pengundi kepada PH kerana rakyat lebih mengenali Tok Mat dan mereka kenal benar hati budi Tok Mat.

“Rakyat boleh tertipu sekali, tetapi tidak mungkin akan ditipu berkali-kali. Kempen PH masih lagi dengan cara menabur janji akan membangunkan itu dan ini, akan beri itu dan ini jika menang, tetapi rakyat Malaysia tidak sebodoh apa yang mereka jangkakan,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, cukup rakyat merasakan mereka ditipu dengan manifesto PRU14 oleh PH dan tidak akan tertipu lagi.

Sebab itu, katanya, keputusan malam tadi merupakan manifestasi serta terjemahan tahap kebencian rakyat kepada kerajaan PH.

Kata beliau, ketidakikhlasan PH menjaga kepentingan Melayu, Islam serta Raja-Raja Melayu menambahkan lagi kebencian dan tercabarnya rakyat khusus masyarakat Melayu, Islam terhadap kerajaan.

“Pelbagai cubaan PH lakukan melalui DAP untuk merealisasikan perjuangan mereka untuk menghapuskan hak dan keistimewaan Melayu, Islam.

“Rakyat harus ingat. Cadangan dan pencabulan hak Melayu yang dibawa DAP dan PH tidak terhenti secara kebetulan atau dari keikhlasan mereka (PH), tetapi semua cadangan mereka seperti cubaan meratifikasi ICERD yang akan menghapuskan hak istimewa Orang Melayu, Bumiputera serta Islam hanya terhenti apabila ditentang dengan kemuncaknya perhimpunan ummah UMNO, Pas serta NGO.

“Seperti juga cubaan untuk meratifikasi Statut Rom yang akan memberi kesan kepada kekebalan raja dan sultan hanya dibatalkan setelah ditentang oleh Raja-Raja dan didedahkan kepincangan mereka rancangkan oleh UMNO, Pas pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya.

Kata beliau, Statut Rom juga ditentang oleh banyak NGO yang mengetahui agenda jahat cuba dibawa PH dalam agenda tersirat mereka.

“Semakin hari semakin jelas penentangan dan kebencian ditunjukkan rakyat kepada kerajaan PH.

“Rakyat sudah tidak yakin dengan PH lagi. Ekonomi terus menjunam yang akhirnya menyusahkan dan membebankan rakyat.

“Kerakusan DAP pula makin terang bersuluh apabila kuasa berada dalam genggaman mereka,” katanya. – MalaysiaGazette