Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

GOMBAK – Pelaksanaan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengambil kira penggunaan subsidi bersilang antara kargo dan penumpang.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, perkara itu dimaklumkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan tiket ECRL tidak akan membebankan rakyat dan dilaksanakan pada harga yang berpatutan.

“Saya juga telah berbincang dengan pihak berkuasa di peringkat Kerajaan Pusat dan mereka memberikan keyakinan bahawa ‘cross subsidy’ (subsidi bersilang) ini akan berlaku bagi memastikan tiket itu lebih murah kepada kepada pengguna biasa.

“(Harga tiket) jauh lebih murah daripada kadar kalau kita pukul rata harga kos projek dengan jumlah perjalanan,” katanya selepas menyampaikan Syarahan Perdana yang bertajuk ‘Malaysia: Model of Rahmatan Lil ‘Alamin’ di Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) malam tadi.

MGF22042019_SAMSURI FORUM ILM08
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar beramah mesra dengan sebahagian peserta Forum Islam Leading Model ‘Malaysia: Model of Rahmatan Lil-Alamin’ Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2019.

Terengganu sebelum ini menyambut baik langkah PH untuk meneruskan semula projek ECRL dibawah perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Ahmad Samsuri sebelum ini yakin projek itu mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi impak positif kepada sosial penduduk.

Katanya, dengan perkembangan itu juga, bandar-bandar utama dan sekitar akan tumbuh pesat seterusnya dapat meyakinkan pelabur dengan penyediaan pembangunan infrastruktur yang lengkap.

ECRL akan meliputi jajaran baharu meliputi dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang juga menyaksikan panjang landasan turut dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer.

Berdasarkan cadangan jajaran baharu itu, enam stesen di Terengganu meliputi Chukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja.

Projek ECRL disambung semula susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC). – MalaysiaGazette