Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir perbicaraan berkaitan pertuduhan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan untuk dua kes melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar hadir bagi mewakili pendakwaan selepas sebutan kes tersebut didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah di sini hari ini.

Kedua-dua kes tersebut melibatkan pertuduhan ke atas isteri bekas Perdana Menteri itu yang didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek bersepadu sistem solar sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak, tiga tahun lalu untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Collin kemudian menetapkan tarikh 2 Mei ini bagi mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Dusuki memberitahu, mahkamah telah memerintah kes itu dibicarakan bersama sebelum ini.

“Namun sesuatu yang luar biasa apabila pihak pembelaan ingin kekal di Mahkamah Sesyen tanpa memberi sebab,” katanya ketika ditemui pihak media di luar mahkamah.

Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek sama.

Pada tarikh sama, Rizal pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM218 juta.

Ia melibatkan projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak. – MalaysiaGazette