Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Dua projek yang diumumkan oleh Lim Guan Eng di Sandakan semalam iaitu projek naik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan dan Projek Tebatan Banjir Sungai Ani bukanlah projek baharu.

Sebaliknya, dua projek ini telah diluluskan di bawah RMK-11 bagi tempoh 2016-2020 ketika pembentangannya pada tahun 2015.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah RM80 juta peruntukan menaik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Mei 2017 ketika merasmikan bangunan terminal baru lapang terbang ini.

“Dengan kata lain, peruntukan tambahan RM80 juta yang diumumkan pada tahun 2017 ini adalah sambungan kepada projek naik taraf yang telah dimulakan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) lagi.

“Bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Anip pula, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanyalah menyambung perancangan awal yang telah dibuat oleh BN sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau bertanggapan pengumuman projek itu mungkin hanyalah kebetulan dan tiada kena mengena dengan kempen Pilihan Raya Kecil Sandakan yang akan bermula pada Sabtu ini.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu lagi, jika disemak kemas kini terakhir di laman web Jabatan Pengairan dan Saliran pada 12 Disember 2017, jelas sekali PTB ini sememangnya telah dirancang awal oleh kerajaan BN untuk penduduk Sandakan.

Khairy berkata, keputusan kerajaan PH untuk meneruskan projek pembangunan yang dirancang ketika pentadbiran BN harus dihargai.

“Kalau hendak ambil kredit pun, silakan,” katanya dengan sinis.

Bagaimanapun, tegas beliau, sekalipun hendak mencari laba politik menjelang PRK Sandakan, janganlah menutup kebenaran sebenar seolah-olah projek yang dilaksanakan ini adalah projek baharu di bawah PH. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/23/kerajaan-sedia-rm183j-untuk-sandakan-tahun-ini/