KOTA BHARU – Empat pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menerima penghargaan daripada Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra hari ini.
Empat pelajar tersebut adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah iaitu Dhivya Janani a/p Mariappan, 20, dan Wee Chin Sheng, 20, yang merupakan pelajar cemerlang peperiksaan peringkat kebangsaan ketika pengumuman peperiksaan tersebut di Putrajaya Mac lepas.
Dua lagi adalah pelajar SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai, Leong Yean Thyn, 20, dan pelajar SMK Datuk Biji Wangsa, Tumpat, Nur Solehah Zahari, 20.
Keempat-empat pelajar tersebut menerima wang tunai RM1,000 setiap seorang dan sebatang pen sebagai tanda kenang-kenangan.
Terdahulu, Dr Muhammad Faiz Petra diiringi isteri baginda, Sofie Louise Johansson berangkat tiba ke majlis minum petang itu pada pukul 4 petang.
Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat ke majlis anjuran Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan al-Muhammadi itu.
Sementara itu, Dhivya Janani ketika ditemui pemberita berkata beliau teruja untuk bertemu Tengku Mahkota Kelantan kerana ia merupakan pengalaman pertama beliau bertemu secara langsung dengan anggota keluarga Diraja tersebut.
“Saya juga gembira kerana dapat bertemu dengan isteri baginda selepas kedua-dua mereka melangsungkan perkahwinan baru-baru ini,” kata anak tukang rumah yang berasal dari Ladang Kerilla, Tanah Merah itu.
Sementara itu, Wee, yang memilih untuk menyambung pengajian dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya berkata beliau tidak menyangka untuk menerima anugerah daripada Tengku Mahkota Kelantan pada hari ini.
“Sama seperti Dhivya Janani, ini juga merupakan pengalaman pertama saya bertemu dengan Tengku Mahkota Kelantan dan saya berasa amat gembira kerana turut menerima penghargaan daripada baginda,” katanya anak bongsu daripada dua beradik itu.- BERNAMA