ALOR SETAR – Tiga wanita Indonesia berjaya mengelak daripada terus menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas meloloskan diri dari rumah ejen pekerja asing, pada 23 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Faridalatrash Wahid berkata kesemua mangsa yang berumur antara 36 hingga 48 tahun itu datang ke Balai Polis Padang Serai, Kulim, untuk membuat laporan pada pukul 5.50 petang, Isnin lepas.

“Kesemua mangsa yang datang ke Malaysia antara Mei hingga Disember tahun lepas bekerja sebagai pembantu rumah dan dihantar ke rumah majikan. Jika majikan membuat aduan mengenai pembantu rumah tersebut, kesemua mereka akan dikembalikan semula kepada pihak ejen.

“Mangsa mengadu dipukul dan dimarahi oleh ejen kerana tidak pandai menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah dan mereka mengadu tidak dibayar gaji selama mereka berkerja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mior Faridalatrash berkata, akibat tidak tahan dipukul dan tidak mendapat gaji, ketiga-tiga mereka telah melarikan diri dan mendapat perlindungan di Konsulat Indonesia di Pulau Pinang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dieksploitasi dan berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun, semalam yang dipercayai merupakan ejen tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

— BERNAMA