Elfira Loy

KUALA LUMPUR – Pelakon, Elfira Loy mengesahkan yang dia kini hamil anak sulung selepas berkahwin awal tahun ini.

Bagaimanapun Elifra, 25, enggan mendedahkan usia kandungan pertamanya itu hasil perkahwinan dengan Faris Khairol Anuar.

Pelakon itu seolah segan untuk mendedahkan perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Hari Raya Elfira Loy X MC Vogue di Flora Terrace hari ini.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri meluahkan rasa syukur dengan kehamilan awal itu.

“Saya rasa gembira kerana sekarang ini banyak kes wanita susah untuk hamil.

“Jadi apabila saya disahkan mengandung walaupun baru empat bulan berkahwin, saya bersyukur dan tak sangka rezeki datang awal.

“Sebenarnya, saya sendiri tak sangka sudah ada ‘isi’ ketika menjalani penggambaran telemovie.

“Namun Alhamdulillah, semuanya selamat dan sampai sekarang pun masih tak percaya saya mengandung,” ujar Elfira yang dijangka melahirkan anak pada penghujung tahun ini kepada pihak media. – MalaysiaGazette