KUALA LUMPUR – Sama seperti hari-hari lain, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba tepat jam 8.50 pagi diiringi beberapa pegawai beliau di pekarangan kompleks mahkamah Jalan Duta dengan wajah tenang dan melemparkan senyuman.

Najib yang memakai kot berwarna hijau gelap hari ini sedang menghadapi pendakwaan atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan masuk hari ke-9 melibatkan saksi ke-21, R Uma Devi telah memberikan keterangan sebanyak RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun semasa milik Najib pada tahun 2014 dan 2015.

Beliau yang merupakan Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa daripada jumlah itu sebanyak RM37 juta dimasukkan daripada akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd iaitu syarikat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk SRC International Sdn Bhd.

MGF24042019_Mahkamah Najib_16
Pengurus Ambank Cawangan Jalan Raja, R. Uma Devi (kiri)

Uma Devi juga mendedahkan wujudnya pemindahan wang berjumlah RM3,282,734.16 dari akaun Ahli Parlimen Pekan itu serta telah dipecahkan kepada dua kad kredit atas nama Najib.

Dalam pada itu, pada sebelah petang ketika Uma Devi membacakan keterangan yang mengambil masa lebih sejam, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon supaya prosiding ditangguh sebentar.

“Saya tidak tahu tentang saksi itu tetapi saya benar-benar letih dan bosan,”katanya sebelum keseluruhan orang dalam galeri ketawa.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan prosiding selama 15 minit sebelum disambung semula pada jam 4.45 petang.

Bagaimanapun, sekali lagi ketika Uma Devi sedang membacakan keterangan, Muhammad Shafee bangkit meminta penangguhan dengan alasan saksi akan tetap menerusan keterangan pagi ini namun dibantah oleh Peguam Negara, Tommy Thomas.

Kata Thomas, keadilan perlu diteruskan walaupun penat dan tidak seharusnya ditangguh walaupun hanya untuk 30 minit. –MalaysiaGazette