Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan telah melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat-tempat makan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelanjutan tempoh tersebut dibuat bagi memberikan peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang bahaya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

Cadangan pelanjutan tempoh pendidikan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikannya pada 16 April lepas dan disertai 10 kementerian lain dan satu wakil badan bukan kerajaan, katanya.

Dr Dzulkefly berkata jawatankuasa itu juga memutuskan agar peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri agar kumpulan perokok dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok, mQuit.

“Penangguhan ini dibuat bagi meningkatkan usaha kerajaan untuk membantu perokok berhenti merokok kerana memahami kesukaran perokok untuk menghentikan tabiat ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang bermula pada 1 Januari 2019 telah mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat.

Beliau berkata melalui tinjauan yang telah dijalankan, rata-rata masyarakat telah mematuhi larangan ini secara baik dan ia telah dapat memberikan impak yang positif dengan semakin ramai warga Malaysia dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan yang lebih selesa.

“Ini menunjukkan komitmen rakyat Malaysia mematuhi peraturan ini bagi memastikan kesihatan dan keselesaan semua orang ketika menikmati makanan di tempat awam,” katanya.

Menurutnya, kajian yang dijalankan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia bermula pada 1 April hingga 17 April melibatkan 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di kawasan yang diwartakan.

Katanya, impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my yang meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding purata 428 orang bagi tahun–tahun sebelumnya.- BERNAMA