KUALA LUMPUR – Pas tidak pernah cemburu dengan DAP apabila parti itu menjalin kerjasama dan bergabung dengan beberapa parti Melayu dalam Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebaliknya DAP, apabila melihat Pas bekerjasama dengan UMNO terus melemparkan pelbagai tuduhan kononnya penyatuan itu boleh menyebabkan negara menjadi Taliban.
Katanya, beliau mendengar DAP bercakap dan melihat perbuatan parti cauvinis itu yang ibarat ‘sudah terlanjur cakap’.
“Sebenarnya saya melihat mereka terlajak cakap, dan bila mereka sudah terlanjur bercakap, orang tua kata, kalau terlajak perahu boleh undur, terlajak kereta boleh undur balik, terlajak cakap ini kalau undur balik pun orang dah masuk dalam kepala, orang dah dengar.
“Tidak mudah untuk undur balik, dan sebab itu mesti cermat dalam membuat kenyataan ini,” katanya dipetik sebagai berkata menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya.
Abdul Hadi berkata, dalam kerjasama Pas dan UMNO itu, mereka telah memperkenalkan konsep sayang pada bangsa yang merupakan sesuatu yang tidak menjadi kesalahan.
“Orang Melayu sayang pada Melayu, Cina sayang pada Cina, India sayang pada India.
“Sayang pada kaum ini tidak salah. Ini adalah naluri manusia. Tidak menjadi kesalahan juga orang Melayu sayang sama-sama dia, hendak bersatu atau bekerjasama sesama mereka tidak jadi salah.
“Apa yang salah apabila dijadikan akidah dan ideologi sehingga sampai ke peringkat fanatik. Islam pun melarang dan mengharamkan fanatik terhadap kaum,” tegasnya.
Beliau turut menempelak DAP yang apabila melihat orang Melayu hendak berbaik dan bekerjasama terus dianggap sebagai perkauman, fanatik agama dan digelar Taliban.
Bagaimanapun katanya, bila DAP lakukan perkara sama, mereka dakwa tidak perkauman.
“Mereka membuat tuntutan untuk sekolah Cina dan sekolah lain, ini bukan perkauman?” ujarnya.
Beliau turut bersyukur dengan kehadiran puluhan ribu orang Melayu dan umat Islam di Himpunan Perpaduan Ummah peringkat Pahang malam semalam.
Katanya, kesatuan ummah dalam kalangan orang Melayu Islam sebagai teras bersama kalangan bukan Islam akan terus dieratkan hubungannya bagi mewujudkan sebuah masyarakat madani yang aman dan sejahtera serta saling bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan, bukan keburukan.
“Terima kasih kepada kerajaan Pahang, Pas Pahang, UMNO Pahang, NGO-NGO, Jabatan Amal Malaysia dan seluruh rakyat yang hadir dan terlibat menjayakan himpunan ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















