SUNGAI BESAR – UMNO diingatkan supaya tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan Pas seperti mana pernah terjadi ketika dalam Perikatan di Kelantan pada tahun 1978.
Aktivis UMNO Selangor, Norman Toha berkata, sekiranya bekas parti pemerintah itu mengulangi semula kesilapan lampau, Pas tidak akan mempercayainya lagi sampai akhirat.
“Kali ini apabila Pas memberikan kepercayaan untuk bersama-sama, kerjasama ta’awun, jangan khianati Pas, sebab dulu pernah berlaku.
“Pas memberikan ruang kerjasama semata-mata agama kita ini tidak ada kuasa di tanahair, kalau buat sekali lagi (khianat) sampai kiamat Pas tidak akan percaya dengan UMNO,” katanya berucap pada Kenduri Penyatuan Ummah anjuran UMNO Bahagian dan Pas Kawasan Sungai Besar malam tadi.
Norman juga memberi amaran kepada tali barut DAP didakwa kurang senang dengan penyatuan ummah antara UMNO dan Pas dan sentiasa mencari peluang untuk memecahbelahkan kedua-dua parti Melayu Islam itu.
“Sebab itu jaga persepakatan ini, sebab kita sudah ada pengalaman dan musuh-musuh kita sentiasa mencari ruang-ruang untuk memecahbelahkan kita.
“Di Malaysia ini DAP sedang merancang melalui kuncu-kuncunya sama ada daripada PPBM, PKR termasuk PAN untuk memecahbelahkan kesatuan yang kita sedang bina hari ini,” katanya.
Tegasnya, sekiranya wujud mana-mana pihak cuba mempertikaikan penyatuan ummah UMNO dan Pas, Norman menggesa agar segera melabelkan pihak terbabit sebagai ejen DAP.- MalaysiaGazette