Tommy Thomas
Reaksi Peguam Negara, Tommy Thomas.

KUALA LUMPUR – Barisan pendakwaraya mahu tarikh perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan dengan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 14 Mei ini ditunda bagi memastikan prosiding SRC International dapat berjalan terlebih dahulu.

Menurut Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pihaknya akan memberitahu tentang penundaan itu dengan jawapan bertulis kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes 1MDB.

Jelas beliau, kes SRC hanya ditetapkan sehingga 10 Mei ini bagi memberi laluan untuk perbicaraan kes 1MDB yang sudah ditetapkan selama 14 hari bermula 14 Mei ini.

“Seperti kita semua sedia maklum SRC International adalah kes berprofil tinggi dan lebih baik untuk memberi fokus kepada satu perbicaraan sebelum beralih kepada yang lain.

“Seandainya ini dipersetujui oleh pihak Yang Arif, saya bersedia untuk membuat permohonan ini dengan Hakim Sequerah.

“Saya akan bertemu dengan beliau Selasa ini dan saya juga akan menulis permohonan ini dan akan mengadakan pertemuan dengan Hakim Collin jam 9 pagi esok,” katanya.

Sejurus selepas itu, peguam bela,  Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula menyatakan kepada pihaknya sudah pun membangkitkan perkara yang sama.

Malah beliau telah mencadangkan perbicaraan itu dimulakan pada September depan.

“Kita sudah cadang sebelum ini. Kami rasa besar sungguh cita-cita untuk prosiding kes baharu apabila yang lama juga belum selesai,” ujarnya.

Hakim Mohd Nazlan kemudian memutuskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan untuk meneruskan perbicaraan dan bersedia melapangkan kes lain.

Kata Mohd Nazlan, kes berprofil tinggi SRC ini juga sebenarnya melibatkan kepentingan umum namun pada masa yang sama menyerahkan kepada budi bicara hakim yang mendengar kes 1MDB.

“Saya bersedia memindahkan tarikh telah ditetapkan pada Julai ini untuk kes perbicaraan International Petroleum Investment Cooperation (IPIC),” putus beliau.

Pada 5 April lepas, pihak pendakwaan memohon supaya tarikh perbicaraan kes 1MDB yang ditetapkan bermula 15 April hingga 3 Mei ini dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes membabitkan dana SRC.

Bagi kes SRC International yang bermula 3 April lalu dan sepatutnya berakhir 10 Mei depan namun hakim belum menetapkan sebarang tarikh baharu sambungan perbicaraan tersebut. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast