Allahyarham Abu Hassan Din ketika menyampaikan kuliah terakhir di Surau An-Nur di Seremban, semalam.

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz, 75, yang menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi, sempat menunaikan hajat jemaah Surau An-Nur di Seremban untuk menyampaikan kuliah khas selepas solat Maghrib semalam.

Beberapa keping gambar serta rakaman yang menunjukkan Allahyarham menyampaikan ceramah tular di laman sosial pagi ini.

Pengguna alam maya memuatnaik gambar dan rakaman berkenaan sejurus mengetahui kematian Allahyarham.

Berdasarkan pemerhatian pada video itu Allahyarham menyampaikan kuliahnya kira-kira 1 jam 45 minit.

Kelas bimbangan agamanya itu dihadiri orang ramai yang memenuhi setiap ruang di dalam surau berkenaan.

Allahyarham, 75, yang menghidap sakit jantung rebah di rumahnya di No.8, Lorong 3/12 B, Kampung Batu Muda di sini ketika sedang bersiap untuk menghadiri satu forum di Maahad Tahfiz di Kota Raja, Ipoh pagi ini.

Allahyarham kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi setelah beberapa kali bantuan pernafasan gagal diberikan kepadanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda selepas solat Zohor dan akan kemudian dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran masjid berkenaan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak yang lima daripadanya adalah perempuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kematian yang sesuai bagi seorang pendakwah yang ikhlas. Ketiadaan beliau pasti terasa kepada semua umat Islam negara ini yang mencintai ilmu agama , sama ada secara terus atau melalui alam maya .Al Fatehah buat Allah Yarham, Semoga jasa dan pengajaran agama beliau mendapat ganjaran berlibat ganda di sisiNYA. Amin2 ya rabbal ‘alamin….

Comments are closed.