Lee Lam Thye
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye bercakap kepada media selepas Majlis Hari Pekerja 2019 anjuran Kesatuan Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (KESETIA) dan Majlis Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) di Tamu Hotel & Suites, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 01 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk memperluaskan penggunaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) perlu menitikberatkan aspek kebajikan dan keselamatan mereka.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan cadangan Perdana Menteri itu tepat pada masa agar mereka yang bekerja sendiri akan menerima manfaat sedlain kebajikan mereka dilindungi kerajaan.

“Apabila sebut tentang soal kebajikan, ini bermakna mereka harus diberikan pelbagai kemudahan oleh pihak kerajaan.

“Ini penting supaya soal berkaitan kualiti hidup dan kesejahteraan setiap pekerja daripada golongan itu sentiasa dijamin dan dilindungi khususnya aspek keselamatan dan kesihatan mereka yang seharusnya menjadi agenda utama kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 anjuran Kesatuan Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (Kesetia) dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia ( Uni-MLC) di Kampung Baru di sini.

Pada sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi tadi, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, golongan nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja dan penggiat seni adalah pekerja dalam sektor formal.

Perdana Menteri berkata, beberapa initiatif telah dilaksanakan kerajaan untuk golongan itu, antaranya memantapkan serta menguatkuasakan skim Perkeso yang meliputi skim perlindungan bencana kerja yang melibatkan pemandu teksi atau individu yang menjalankan perkhidmatan e-hailing. – MalaysiaGazette