KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Kebangkitan Ummah (QIAM) mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melantik mufti sebagai anggota exco di setiap negeri.
Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, ini selaras dengan pengisytiharan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berkonsepkan rahmatan lil alamin.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan PH tegas mengatur program dan aktiviti yang mampu melaksanakan pernyataan dasar itu dengan penuh kesungguhan.
“Ke arah matlamat ini, kerajaan mesti memastikan setiap dasar, program dan aktiviti Persekutuan dan negeri patuh syarie.
“Untuk itu kami mahu mufti dan pegawai agama dilantik sebagai ex-officio di semua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan menduduki semua jawatankuasa peringkat Persekutuan dan negeri.
“Begitu juga semua Kertas Jumaah Menteri dan Kertas Majlis Mesyuarat Negeri, hendaklah mendapat pandangan dan ulasan Mufti atau Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.
Dalam erti kata lain, ujar beliau, QIAM mahu melihat institusi agama Islam yang selama ini berada di lapis sekunder diletak pada saf paling hadapan.
Sirajuddin turut menyokong cadangan kerajaan untuk meminda Akta 355 bagi memartabatkan institusi mahkamah syariah kerana ia menyumbang kepada pencapaian matlamat rahmatan lil alamin.
“Kita juga mahu melihat hakim mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa penghakiman yang lebih luas,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan merombak dan memberi suntikan baharu sistem pengajaran agama Islam yang dilihat tidak memberi penekanan kepada pembentukan ummah yang progresif dan maju.
Pengajaran Islam hampir 90 peratus menumpukan kepada soal hukum- hakam, ibadat khusus, fardu ain, persediaan untuk mati dan sebagainya sahaja.
“Soal kenegaraan, ekonomi, kekayaan, pembangunan hampir tidak diajar dimana-mana. Sebaliknya, sepanjang masa dan di mana-mana jua, para agamawan menekankan bahawa dunia ini bukan untuk orang Islam.
“Dunia adalah syurga orang kafir. Kekayaan dan perniagaan juga bukan untuk orang Islam sehingga diberi gambaran seolah menjadi kaya itu suatu dosa atau jenayah.
“Agama dan pahala itu digambarkan hanya di masjid dan di sejadah sehingga bekerja, berdagang, berniaga itu dunia semata-mata. Soal jihad ekonomi dan jihad dalam setiap pekerjaan tidak timbul langsung,” katanya.
Keadaan ini, jelas beliau telah menyumbang kepada mundurnya orang Islam di setiap bidang.
Oleh itu, bagi mencapai rahmatan lil alamin, sistem pengajaran Islam itu hendaklah dirombak agar ummah yang dilahirkan lebih progresif dan berdaya maju. – MalaysiaGazette