Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan memperuntukan kira-kira RM1 bilion kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mereformasikan sektor pertanian secara bersama.

Peruntukan bagi pelaksanaan Program Hasil Baharu yang dikatakan mampu memberi hasil dalam tempoh singkat melalui proses agregasi itu akan dilaksanakan untuk jangkamasa empat tahun dari 2019 hingga 2022.

Dalam kenyataan bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Salahuddin Ayub, menyifatkan pelaksanaan program itu sebagai hala tuju baharu dua kementerian berkenaan untuk bergerak dalam satu pasukan.

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub

“Kami telah berbincang, dan bersetuju untuk bergerak sebagai satu pasukan merangka pendekatan baharu bagi mereformasikan sektor pertanian negara.

“Perbincangan strategik ini susulan daripada pembentangan Kertas Putih: Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Dewan Rakyat 10 April lalu.

“Pembentangan ini telah membuka ruang untuk memperkenalkan tanaman baharu yang mampu memberi hasil dalam tempoh singkat dan melalui proses agregasi, dan mencapai ekonomi bidangan,” katanya.

Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berkenaan mempunyai peranan penting dalam meningkatkan produktiviti dan mengenal pasti hasil pertanian yang berpotensi untuk meletakkan sektor itu sebagai pemacu ekonomi negara.

Katanya, kementerian dan agensi masing-masing komited untuk menggembleng sumber serta kepakaran sedia ada secara optimum ke arah mentransformasikan sektor pertanian.

“Setiap Kementerian akan menyumbang kekuatan bidang masing-masing untuk mencapai matlamat ini,” ujar mereka.

Agensi bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi seperti Felda, Felcra Berhad dan Risda memiliki bank tanah yang luas dalam pembangunan sektor pertanian mampu mencapai ekonomi bidangan dan meningkatkan jaminan bekalan makanan negara.

Manakala penglibatan jabatan dan agensi bawah Kementerian Pertanian pula seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyediakan khidmat nasihat teknikal dan pemasaran.

Kerjasama kedua kementerian itu merupakan langkah pertama dalam membina sinergi agar tidak berlaku pertindihan fungsi dan pembaziran sumber.

Sebagai contoh, kata mereka, kepakaran penyelidikan di Mardi boleh menjadi panduan kepada penentuan tanaman baharu yang dapat mengeluarkan hasil tinggi dalam jangka masa singkat.

“Perbincangan hari ini juga meneroka potensi teknologi baharu era Revolusi Industri 4.0 seperti artificial intelligence, analisis Big Data, dron dan Internet of Things (IoT) dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

“Kejayaan sinergi ini bakal memberi manfaat kepada semua pemegang taruh sektor pertanian, termasuk pengguna apabila hasil tanaman dan ternakan berkualiti memperoleh harga berpatutan, memenuhi keperluan pasaran serta menjana pendapatan lebih tinggi kepada petani, peneroka dan pekebun kecil,” kata mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast