Dr. Rais Yatim
Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim tidak bersetuju dengan penilaian yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung capaian pemerintahan setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Secara jujurnya, kata beliau, markah lima per 10 yang diberikan Pengerusi PPBM itu terlalu tinggi kalau dibandingkan kelembapan prestasi yang ditunjukkan oleh para menteri.

“PM Tun Mahathir beri markah 5/10 kepada para menterinya kelmarin. Sejujurnya ramai rakyat beri markah lebih rendah dari itu.

“Sebabnya ialah pelaksaan janji PRU14 capaiannya terlalu sedikit. Kita tengoklah setahun lagi, bagaimana,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Khamis ini genap satu tahun pemerintahan PH setelah mengambil alih pusat pentadbiran Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lalu.

Dalam tempoh sebulan ini beberapa menteri PH masing-masing meletakkan markah sendiri berhubung prestasi pencapaian mereka sepanjang menerajui kementerian.

Antara yang meletakkan markah enam per 10 ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof; dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast