Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (tengah) diiringi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kanan) mendukung pelajar yang mewakili Malaysia dalam pertandingan Antarabangsa, Qhalief Harizul Dzarfan, 11 (dua kiri) dan Zayed Harizul Dzarfan, 9 (dua kanan) pada Majlis Perhimpunan Keluarga Besar KPM di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 MEI 2019

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata beliau belum meneliti kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai ‘budak bodoh’.

Menurut Menteri Pendidikan itu, beliau tidak mempunyai masa untuk meneliti kenyataan Dr Mahathir kerana sibuk dengan persiapan majlis kementeriannya hari ini.

“Dia (Tun Dr Mahathir Mohamad) cakap apa? Dia cakap di mana. Saya kena tengok sidang media lagi. Saya sibuk menyediakan untuk majlis hari ini,” katanya di Kementerian Pendidikan hari ini.

Media hari ini bertanyakan Maszlee tentang kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang memanggil Tunku Ismail sebagai seorang budak kecil bodoh dan tidak tahu apa yang berlaku.

Malah Dr Mahathir turut menggesa agar waris Kesultanan Johor itu berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai perkara-perkara di luar pengetahuannya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Tunku Ismail bahawa perbuatan baik ayahandanya, seperti mengurniakan tanah kepada rakyat dan kerajaan, tidak ditonjolkan.

Kenyataan TMJ itu keluar selepas suatu laporan mengenai sebidang tanah persekutuan yang diperuntukkan untuk Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) telah dipindah milik ke atas nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar . -MalaysiaGazette