Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad bercakap kepada media pada perasmian 1st World Congress on Fall and Postural Stability (WCFPS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan memerlukan akta dan undang-undang khusus bagi mendepani masyarakat warga tua daripada segi penjagaan kesihatan agar semua pihak bersedia untuk menghadapinya menjelang tahun 2030.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, persiapan awal tidak hanya meliputi soal penjagaan kesihatan pesakit itu sendiri bahkan wujudnya keperluan kepada penguatkuasaan akta baharu itu nanti.

“Menjelang tahun 2030 kita akan menjadi sebuah masyarakat warga tua dengan 15 peratus daripada rakyat kita akan berumur lebih daripada 65 tahun.

“Kita perlu membuat persiapan awal bukan sahaja dari sudut penjagaan perubatan tapi ia lebih kepada persiapan penjagaan pesakit, ia juga mesti bersekali dengan pelbagai faktor lain.

“Ini termasuklah menyediakan undang-undang, ini bermaksud organisasi seperti pusat jagaan di mana dulunya di bawah Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya pada sidang media mengenai 1st World Congress on Falls and Postural Stability, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah pertama kongres bertaraf dunia itu anjuran Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM) dan Persatuan Geriatrik British (BGS) di KLCC dari 4 hingga 7 Disember ini.

Dzulkefly juga berkata, bagi tujuan itu juga kerajaan telah pun membentangkan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 sebelum ini.

“Akta ini telah dibentang dan diwartakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Mac lalu.

“Lalu kita telahpun mewartawakan penguatkuasaan (akta) ini,” katanya.

Katanya lagi, apabila akta khusus diwujudkan, kerajaan memerlukan lebih ramai lagi pakar pediatrik bagi menangani masyarakat warga tua ini.

“Apabila kita bercakap tentang Falls and Postural Atau Orang tua jatuh, kita bukan saja bercakap penjagaan pesakit yang kita juga mesti bercakap tentang aspek lain tentang ekosistem, akta dan undang-undang.

“Ketika ini kita hanya ada 40 pakar pediatrik. Begitu juga jururawat yang perlu mempunyai asas dan latihan khusus untuk mendepani penjagaan kesihatan masyarakat warga tua ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast