Nga Kor Ming.
Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming melahirkan rasa kecewanya terhadap sesetengah Ahli Parlimen yang dilihat sebagai “hanya tahu meminta”.

Beliau berkata, golongan wakil rakyat itu hanya akan mengemukakan permintaan kepada kementerian berkenaan apabila mereka terlibat dalam perbahasan.

“Ramai Ahli Parlimen yang selalu membangkitkan apa yang kurang dalam kawasan yang diwakilinya dan apa jenis kemudahan yang diperlukan dalam kawasannya.

“Mereka mahu ini dan mahu itu, tetapi jarang memberi cadangan membina untuk kemajuan ekonomi dan pembangunan negara,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Kor Ming berkata, tidak salah untuk bersuara untuk pengundi, tetapi dalam keadaan hutang negara yang membebankan, wakil rakyat juga perlu memberi pandangan membina untuk menambah hasil negara tanpa memberi beban kepada rakyat.

Sementara itu, Kor Ming memberi pujian kepada beberapa Ahli Parlimen yang dilihat selalu memberi pandangan baharu yang bernas dan profesional.

Wakil rakyat tersebut termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli, PPBM) dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau, PKR).

Ditanya mengenai prestasi Ahli Parlimen UMNO, Kor Ming berkata, beliau kecewa dengan sesetengah wakil rakyat parti itu yang sengaja mencari publisiti dalam dewan.

Kor Ming berkata, cabaran terbesar kerajaan sekarang ialah mentaliti yang harus diubah.

“Ini termasuk mentaliti menteri dan timbalan menteri, pegawai kerajaan dan pengundi.

” Jika kita tidak meletakkan diri sebagai orang Malaysia, negara kita tidak akan betul-betul maju dan makmur,” katanya.

Tambahnya, semua polisi yang dilaksanakan agensi kerajaan tidak harus berlandaskan kaum dan agama supaya tidak terjerat ke dalam “perangkap agama dan warna kulit”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast