KUALA LUMPUR – Sebuah parti di peringkat penaja bersedia bekerjasama dengan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim sekiranya terbabit dalam politik dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung penaja Parti Patriotik Nasional (PPN), Mohd Zulkifli Abdul Fatah berkata, kesediaan pihaknya untuk bekerjasama itu merujuk kepada ura-ura kenyataan Tunku Idris bahawa baginda berkenan mencemar duli bertanding pada PRU15 akan datang.
“Kami juga sedia maklum kepada kaji selidik yang dibuat oleh baginda mengenai kawasan Parlimen yang ingin ditandingi Tunku Temenggong,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan beberapa gambar tangkap layar daripada Instagram rasmi Tunku Idris yang memberi gambaran mahu bertanding pada PRU15 tersebar di laman sosial.
Gambar tangkap layar pertama memaparkan Tunku Idris berpakaian rasmi diraja beserta keterangan “I am running #PRU-15” (Saya bertanding PRU-15).
Satu lagi gambar tangkap layar disertakan dengan keterangan undian pilihan antara Parlimen Muar atau Mersing.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Tunku Idris memuat naik Instagram Story berkenaan kerana semakan pada laman Instagram milik beliau mendapati tiada sebarang kenyataan dimuat naik seperti yang ditularkan.
Mengulas lanjut, Mohd Zulkifli memberitahu, bentuk kerjasama itu akan diumumkan kelak setelah pihaknya mengadap dan berbincang bersama baginda.
Katanya, PPN yang diterajui anak muda berbilang kaum dari seluruh negara telah menghantar permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) tahun lalu.
“Kita menjangkakan ROS akan meluluskan permohonan PPN bulan ini,” katanya. – MalaysiaGazette