RTM juga gagal melunaskan gaji pekerja pada tahun lepas dan perkara itu juga dilaporkan dalam media.

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini menyangkal dakwaan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman kononnya RTM tidak membuat liputan program kerajaan negeri dan ketua menteri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, stesen utama kerajaan itu menyangkal dakwaan Abdul Karim sambil menegaskan, kenyataan dari pemimpin Sarawak itu sebagai tidak berasas.

“Untuk makluman, RTM berusaha sebaik mungkin membuat liputan semua aktiviti di negeri itu dan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, RTM telah membuat liputan 181 aktiviti melibatkan Ketua Menteri, menteri-menteri dan kerajaan negeri Sarawak,” kata agensi rasmi kerajaan itu lagi.

RTM mengeluarkan ulasan itu sebagai merujuk kepada kenyataan Abdul Karim bertarikh 7 Mei 2019 mengenai liputan RTM di Sarawak.

Menurut stesen itu, RTM menyiarkan laporan tersebut melalui pelbagai platform termasuk dalam program berita ehwal semasa di radio, televisyen dan media sosial.

Justeru laporan juga disiarkan dalam pelbagai bahasa dan dialek tempatan.

“Selaras dengan dasar kerajaan memperjuangkan kebebasan media dan atas arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Gobind Singh Deo, RTM bebas untuk membuat liputan media aktiviti-aktiviti kerajaan Negeri Sarawak.

Justeru itu, RTM Sarawak akan sentiasa berusaha memberi liputan secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat, tegas kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette