Akhyar Rashid

KUALA LUMPUR – Sebuah kelab bola sepak profesional dari Belarus, BATE Borisov dikhabarkan berminat untuk menguji pemain skuad Harimau Selatan, Akhyar Rashid dalam masa terdekat.

Football Agent – Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menghubungi wakil daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Akhyar sendiri untuk berbincang mengenai tawaran daripada kelab tersebut.

JDT telah menandatangani pemain yang berusia 20 tahun itu dengan kontrak empat tahun dan mempunyai klausa pelepasan perpindahan bernilai RM12 juta.

Difahamkan pencari bakat kelab tersebut tertarik dengan aksi Akhyar selepas menonton rakaman video yang melibatkan beberapa perlawanan di peringkat antarabangsa dan Liga Malaysia.

Saham bekas pemain Kedah itu tiba-tiba naik selepas mempamerkan aksi memukau ketika dalam saingan Sukan Asia di Indonesia tahun lepas sehingga menarik minat beberapa kelab ternama di Malaysia dan Thailand.

Sekiranya Akhyar berjaya menandatangani kontrak bersama BATE Borisov, beliau berpeluang beraksi dalam kejohanan tertinggi eropah sama ada UCL atau UEL pada musim 2019/2020.

BATE Borisov merupakan juara liga divisyen utama Belarus sebanyak 15 kali.

Pasukan tersebut juga pernah beraksi dalam saingan UEFA Champions League (UCL) dan musim ini mereka berada dalam kumpulan L dalam UEFA Europa League (UEL) bersama Chelsea, PAOK FC dan MOL Vidi.

Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee sebelum ini menasihati Akhyar Rashid supaya berhati-hati dalam memilih kelab yang ingin disertainya di luar negara serta memastikan dia mempunyai tempat dalam kesebalasan utama pasukan.

Bagaimanapun, Kim Swee juga mahu peminat bola sepak tempatan bersikap realistik dan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada Akhyar jika beliau berhijrah ke luar negara. – MalaysiaGazette