KUALA LUMPUR – Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini muncul sebagai kelab bola sepak terbaik di rantau Asia Tenggara.
Kejayaan itu adalah berdasarkan penilaian oleh Footy Rankings yang menilai keupayaan kelab-kelab bola sepak di seluruh Asia.
Berdasarkan kemaskini terkini daripada laman tersebut, JDT kini menduduki tangga ke-32 dan turut mengatasi beberapa kelab utama Asia yang lain seperti Shanghai Shenhua (China), Pohang Steelers (Korea Selatan), dan juga Melbourne Victory (Australia).
JDT merupakan kelab terbaik Asia Tenggara selepas berada di atas Ceres Negros (Filipina) yang kini berada di kedudukan ke-33.
Beberapa kelab utama Asia Tenggara yang lain menyaksikan Buriram United (Thailand) berada di kedudukan ke-36; Muangthong United (Thailand) di tangga ke-46; dan Home United dari Singapura di kedudukan ke-52 Asia.
Beberapa pasukan Liga Malaysia lain turut berada di dalam senarai apabila Selangor berada di kedudukan ke-104, Felda United di tangga ke-108, dan Perak di tangga ke-115 di Asia.
Kiraan mata untuk ranking ini adalah berdasarkan penglibatan kelab bola sepak di dalam pertandingan Asia sejak empat tahun yang lalu.
Kemenangan JDT ke atas Kashima Antlers 1-0 pada pertandingan AFC Champions League kelmarin telah banyak membantu melonjakkan skuad Harimau Selatan di dalam sistem kiraan mata ini. – MalaysiaGazette