KUALA LUMPUR – Politik perkauman yang didasarkan pada semangat kebangsaan melampau secara membuta tuli boleh membawa kekacauan dalam masyarakat negara ini.
Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (PAN), Sany Hamzan berkata, beliau bersetuju dan menyambut baik seruan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar amalan politik perkauman harus dihentikan.
Kata beliau, politik berdasarkan kebencian perlu ditolak dan dijauhi sebelum ia membarah dalam masyarakat.
Menurutnya, politik perkauman yang mengangkat bangsa sendiri dengan merendahkan kaum lain tanpa asas juga akan mengganggu gugat keharmonian kaum yang dirasai segenap anggota masyarakat sejak sekian lama.
“Kita menyeru setiap pihak supaya meninggalkan amalan politik perkauman dan berhenti menilai setiap isu serta permasalahan yang timbul dari kaca mata perkauman.
“Tindakan mengapi-apikan sentimen perkauman tanpa mengambil kira kesannya kepada negara adalah perbuatan yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjadi api dalam sekam,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau menyatakan, semangat Malaysia Baharu yang dibina hasil kerjasama setiap bangsa dalam negara cintakan keamanan, kesejahteraan dan negara bebas dari rasuah perlu dipupuk dan dipertahankan.
Katanya, rakyat harus menunjukkan keberanian untuk menolak mana-mana pihak yang cuba merobohkan semangat itu. – MalaysiaGazette