Shahidan Kassim.
Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menafikan penyatuan ummah melibatkan parti Melayu itu dengan Pas kini semakin utuh sambil menyifatkan keakraban itu bagaikan adik-beradik.

Shahidan berkata, hubungan erat itu sukar digugat oleh mana-mana pihak kerana penyatuan dua parti terbesar di negara itu berlandaskan kepentingan agama Islam dan kelangsungan bangsa Melayu.

“Sekarang ini kita kena ingat, kalau apa terjadi pun keputusan di peringkat atas, peringkat akar umbi, ianya telah berjalan dengan lancar.

“Malah cawangan UMNO buat majlis ini dengan menjemput wakil rakyat Pas, dan mereka minta saya hadir sama, tiada masalah. Cawangan Pas buat perkara sama. Kami sudah mesra di peringkat adik-beradik.

“Kalau nak putus hubungan dengan orang lain, boleh berjalan macam itu saja, tapi adik-beradik payahlah, lambat laa, sebab sekarang sudah terjalin satu hubungan luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Sempena Ulangtahun UMNO ke-73, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  bahawa parti Islam itu dan UMNO akan bergabung menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Kata Abdul Hadi, usaha itu boleh berjaya kerana Pas dan UMNO kini berada dalam keadaan bersih selepas beberapa individu bermasalah meninggalkan kedua-dua parti berkenaan.

Shahidan berkata, hubungan UMNO-Pas itu juga telah teruji dalam tiga pilihan raya kecil sebelum hingga memenangkan calon Barisan Nasional (BN).

“Saya boleh bercakap sebab saya duduk di Cameron Highlands 15 hari, di Semenyih 15 hari dan di Rantau 15 hari, tanpa bergerak daripada kawasan pertandingan.

“Saya berada di sana dan saya menghayati bahawa Pas-UMNO ini akhirnya membuahkan kepada kejayaan,” katanya.

Katanya lagi, UMNO dan Pas tidak akan membiarkan kaum minoriti memecahbelahkan perpaduan Bumiputera dan orang Melayu yang menjadi penduduk majoriti di negara ini.

“Saya nak ingatkan rakyat Malaysia, orang Islam kita ada 62 peratus, Bumiputera campur Sabah dan Sarawak kita ada 70 peratus, Cina 22 peratus dan India 7 peratus.

“Bagaimana boleh kita membiarkan Bumiputera dan orang Melayu ini tiba-tiba berpecah begini padahal mereka majoriti penduduk negara ini dan mereka tak boleh diperkotak-katikkan dengan mudah,” tegasnya.

Katanya lagi, pendekatan perkongsian kuasa antara UMNO dan Pas yang pernah diamalkan sebelum ini akan dijadikan asas untuk memenangkan dua parti terbesar itu pada PRU15 akan datang.

“Lebih baik pendekatan berkongsi kuasa seperti yang berjalan sebelum ini daripada pendekatan parti-parti yang menang menonjolkan agenda parti masing-masing, bukan agenda kerajaan, sebab akan jadi kelam-kabut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast