Zaharuddin Muhammad
Zaharuddin Muhammad

KUALA LUMPUR – Zaharuddin Muhammad berkata, bapa mentuanya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi restu kepadanya berhubung isu lama yang berkaitan dengan pemimpin Pas peringkat negeri bernama Nurul Islam.

“Saya tulis yang Tuan Guru (Abdul Hadi) restu itu berkait dengan isu lama, isu Nurul dulu.

“Ini setelah Mr KH (Kaki Hasut) menghasut, saya bagi penjelasan, maka Tuan Guru Abdul Hadi restu dan saya tak tarik tulisan itu sampai sekarang,” akui bekas ahli Majlis Syura Ulama Pas yang merupakan menantu kepada Presiden Pas.

Dalam rakaman terkini, wartawan bertanyakan berkenaan restu Presiden berhubung pendedahan kartel dedak yang hangat sehari dua ini dan sememangnya Abdul Hadi menafikan.

“Betullah dia (Abdul Hadi) nafi, sebab memang saya tak jumpa dia sejak satu minggu yang lalu,” katanya dalam kenyataan balas berhubung isu yang hangat dibincangkan berkaitan kartel dedak.

Menurut Zaharuddin, dalam Minda Presiden pula cerita itu berkisar lebih kepada isu RM90 juta yang didakwa diterima Pas dari duit 1MDB.

Beliau mendakwa, Mr KH iaitu Kaki Hasut pula baharu sahaja memberi taklimat kepada Presiden di Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qardhawi (Komtaq) Kerdau kononnya beliau bangkitkan semula isu RM90 juta yang didedahkan Sarawak Report.

“Padahal saya bangkit bukan isu RM90 juta, tetapi isu kartel dedak dan dedak-dedak mereka. Tidak ada kaitan langsung dengan fitnah Sarawak Report RM90 juta.

“Tahniah dan terbaik team media bawah seliaan Mr Hussam II yang mengawal Facebook dan Twitter Presiden sekarang.

“Spin hanya pada perkara yang kecil, isu Nurul Islam yang lama yang dapat restu, dengan isu baru yang saya bangkitkan sehari dua ini. Sebarkan ‘tidak restu’ atas nama Facebook dan Twitter Presiden bagi melambangkan Presiden yang bersuara dan seolah saya berbohong,” katanya merujuk tajuk Facebook, “Tindakan Zaharudin, tiada restu dari Tuan Guru”.

Zaharuddin menjelaskan, berdasarkan klip video yang diviralkan, pada minit ke 9:03, Abdul Hadi ada menyebut, “bukan hak saya merestu…”

Ayat itu katanya, amat dalam sekali maknanya dan kepada yang melihat maklum balas Abdul Hadi bulan ini dan bulan lepas agak berbeza.

“Saya rasa baiah dan ikrar cybertrooper kartel dedak yang baharu dibuat untuk pertahankan Mr Hussam II itu sudah nampak hasil pertamanya.

“Cuma ingatan saya supaya bezakan betul-betul antara pertahankan parti dan pimpinan pada tempatnya yang betul dengan pertahankan pimpinan korup. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast