KUALA LUMPUR – Pas dan UMNO tidak akan menoleh ke belakang lagi walaupun dihujani fitnah dari parti musuh yang dalam ketakutan dan cemburu dengan kerjasama itu.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, kerjasama itu mempunyai hikmahnya apabila berjaya membuktikan siapa yang benar mahukan Islam dan menjadikan agama itu sebagai alat mereka selama ini.
“Inilah ketakutan yang akhirnya terjadi. Jangan menoleh ke belakang lagi, gandingan UMNO dan Pas sekarang dihujani fitnah itulah cabaran kita. Teruskan agenda untuk Bumiputera dan Islam.
“Bagi UMNO, Islam ada dalam DNA perjuangan kita selama hampir 73 tahun sejak penubuhannya di Istana Besar, Johor pada 11 Mei 1946,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, UMNO Bahagian itu dan Pas Kawasan telah mencipta sejarah apabila julung kali bersama mengimarahkan Ramadan dengan pertemuan dan perkongsian ilmu.
Kata beliau, beberapa tahun lalu, UMNO dan Pas sama-sama memperjuangkan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) sehingga mendapat tentangan pihak pembangkang dan penyokong mereka.
“Hubungan ini kemudian terus diperkasakan dengan adanya aktiviti bukan politik seperti pertemuan antara kedua pihak baru-baru ini dan kita buktikan kita bersatu bukan kerana duniawi semata-mata,” katanya.
Menurut Azhari, agama Islam dan agenda Bumiputera perlu diteruskan dan kes terbaharu amat menakutkan apabila kaum Bumiputera tidak mendapat bantuan biasiswa JPA untuk matrikulasi.
“Inilah ketakutan yang akhirnya terjadi,” katanya. – MalaysiaGazette