Prosiding RCI Wang Kelian

PUTRAJAYA – Hari kesepuluh sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis bersambung hari ini dengan saksi ke-27 memberi keterangan.

Penolong Pengarah Ukur Sempadan Darat Antarabangsa Mohd Hafiz Mat Arifin tampil memberi keterangan di hadapan tujuh panel RCI diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Beliau yang bertugas di Bahagian Ehwal Persempadanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia merupakan individu yang dirujuk bagi menentukan dan mengesahkan lokasi kejadian dalam kes di Wang Kelian dan Wang Burma sama ada berada dalam wilayah Malaysia atau Thailand.

Selain Mohd Hafiz, dua lagi saksi dijangka memberi keterangan hari ini di hadapan panel RCI yang diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas yang memulakan prosiding pertama pada 16 April lepas.

Ia diadakan susulan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Antara lain, RCI itu diadakan bertujuan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast