Ketua Pegawai Korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Wira Roslan Ab Rahman (tengah) bergambar kenangan bersama Pengarah Filem, Quek Shio Chuan (dua kanan), Pelakon Iklan Raya TNB, Abdul Halim Hamzah (tiga kanan) dan Bella Dowanna Halim (tiga kiri) sempena Tayangan Eksklusif Media : Iklan Hari Raya Aidilfitri 2019 TNB “Konvoi Epik Fantastik” di Bookmark, APW Bangsar, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 23 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Lari daripada stereotaip “airmata Aidilfitri” yang sering menjadi pilihan pihak produksi di dalam menghasilkan karya sama ada iklan mahu pun drama sempena hari raya, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) meneruskan tema keseronokan dan kemeriahan meraikan lebaran bersama keluarga.

Jika tahun lalu, syarikat utiliti nasional itu memilih tema kemeriahan keluarga besar menyambut syawal di sebuah rumah warisan di kampung, tahun ini iklan raya TNB mengetengahkan tradisi kunjung-mengunjungi yang menjadi tunjang kepada sambutan perayaan di negara ini.

Dengan tajuk Konvoi Epik Fantastik, video berdurasi 4:29 minit itu menceritakan pengalaman dan tradisi seorang gadis bandar bernama Nabila yang mengikuti konvoi raya ke semua 10 rumah adik-beradik datuknya di utara tanah air.

Berlatar belakangkan pemandangan indah negeri Perlis termasuk kawasan bendang dan tasik Timah Tasoh, setiap pengalaman berkonvoi yang biasa dialami oleh rakyat Malaysia diperincikan dengan baik sekali.

Babak-babak ibu memarahi anak-anak yang nakal di dalam kereta, walkie-talkie sebagai alat paling penting semasa berkonvoi, bekalan snek sebagai teman sepanjang perjalanan malah tersilap jalan sehingga terpisah daripada kumpulan juga dipaparkan dengan terperinci sehingga mengundang ketawa penonton.

Menurut Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, video Konvoi Epik Fantastik itu memberi penekanan kepada unsur-unsur kekeluargaan seperti tolak ansur, hormat-menghormati, kesefahaman dan keikhlasan dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim.

“Iklan raya kami pada tahun lepas mendapat sambutan hangat dengan 12.1 juta hits jadi harapan penonton lebih tinggi pada tahun ini.

“Kami sebenarnya mahu berkongsi keseronokan dan kemeriahan sambutan hari raya dengan tradisi kunjung mengunjungi akan terus kekal sebagai satu budaya dalam memupuk semangat persaudaraan dan kekeluargaan yang kuat,” katanya semasa majlis pratonton eksklusif untuk media di sini hari ini.

Video penuh Konvoi Epik Fantastik boleh mula ditonton di Facebook, Twitter dan Youtube bermula hari ini manakala bagi siaran televisyen, ia dijadualkan ke udara pada 1 Jun ini. – MalaysiaGazette