Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Peluang untuk pelajar tidak kira dari golongan apa sekali pun perlu diberi tempat pengajian sekiranya mereka layak meneruskan pengajian tanpa dibatasi.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, ianya berpaksi pada Hak Keistimewaan Melayu Fasal 153, yang melibatkan hak semua orang Melayu termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, antara perkara pokok hak itu ialah biasiswa dan mendapat pelajaran.

“Prinsip ini tidak boleh dipersoalkan kerana termaktub dalam Perlembagaan Negara dan tidak kira miskin atau kaya, semua kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak berhak mendapat pendidikan serta biasiswa.

“Yang menjadi permasalahan ialah tempat terhad, namun ianya boleh diperbesarkan oleh kerajaan seperti mana kerajaan menambah lorong jalan raya kerana kesesakan lalu lintas.

“Kerajaan boleh berbelanja berbilion ringgit untuk projek lain kenapa tidak untuk modal pembangunan insan terutama dalam bidang peluang pendidikan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dr. Ibrahim menjelaskan, untuk mengatasi peluang kerana tempat terhad, sambil menunggu kerajaan membina lebih banyak tempat mendapat pelajaran, maka boleh diambil pendekatan yang datang dari T20 dikenakan bayaran lebih untuk “cross subsidi” bagi B40.

Strategi dan dasar itu, katanya, boleh membantu percampuran atau pergaulan  anak T20, M20 serta B40, dan sekaligus akan membuka minda “cross budaya” hidup.

Skala kemasukan perlu ada dari segi tempat bagi pengajian mengikut T20 iaitu sebanyak 20 peratus, M20 (30 peratus) dn B40 (50 peratus).

Bagi anak-anak T20 pula, boleh masuk di matrikulasi berbayar sama ada dalam ataupun luar negara sebab mereka berkemampuan.

Bagaimanapun, kata Dr. Ibrahim, lebih baik membiayai pendidikan anak daripada membina rumah seperti mahligai, kereta mewah dan melancong.

“Ini kerana harga tiket kapal terbang pergi balik ke London sudah boleh membiayai satu atau dua tahun kos pelajaran anak di IPTA atau IPTS.

“Fikirlah sendiri. Anak dari keluarga miskin wajib dan mesti diutamakan agar tiada yang tercicir dan ianya hak yang dijamin dalam Perlembagaan untuk kaum Bumiputera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast