KUALA LUMPUR – Penganjuran program kepartian di dalam masjid dan surau kepartian adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasrul Zulkarnain Abd Munaim berkata, pihaknya mendapati empat program yang jelas menggunakan nama parti telah dijalankan di masjid dan surau sekitar Perak.

“Antaranya program yang dianjurkan oleh Wanita UMNO dan Muslimat Pas Lumut di Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dan Masjid Al-Khairiah Kg Banjar, Teluk Intan yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Malaysia.

“Ada pihak membawa kain rentang berlogo UMNO dan Pas di dalam masjid dan Surau Al-Ittihad di Kampung Temiang Ipoh yang membawa Timbalan Presiden Pas dalam program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasrul Zulkarnain melahirkan rasa sedih apabila program-program tersebut dijalankan dengan pengetahuan ahli jawatankuasa masjid dan tiada sebarang tindakan dibuat bagi mengekang perkara tersebut.

“Jelas, tindakan yang dibuat oleh kedua-dua parti ini tidak menghormati institusi agama yang diletakkan di bawah kuasa DYMM Tuanku Sultan dan mencabar kredibiliti Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam menguatkuasa peraturan sedia ada,” katanya.

Susulan itu, pihaknya menggesa supaya semua pihak berkuasa khususnya JAIPk agar bertindak lebih profesional dan memantau setiap aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau.

“Ia mestilah selaras dengan titah DYMM Tuanku Sultan yang melarang masjid dan surau dijadikan pentas permainan politik,” katanya.

Katanya lagi, UMNO dan Pas turut digesa menjalankan program parti di premis lain pada masa akan datang dan tidak berselindung di sebalik program keagamaan untuk menyalahgunakan rumah ibadat umat Islam itu.

“Kami juga ingin menasihatkan kepada semua AJK masjid dan surau yang dilantik agar dapat bertindak tegas dalam perkara ini.

“Meskipun ada sebahagian cenderung menyokong parti-parti tertentu tetapi usaha memelihara kesucian masjid dan surau dari pengaruh politik kepartian mestilah menjadi keutamaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast