Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) diiringi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) bercakap semasa sidang media selepas pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2019 di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 27 MEI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan belum memutuskan untuk memberi kuota khas kepada kontraktor bumiputera untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja awam projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita sudah tentukan kontraktor tempatan dapat 40 peratus dalam kerja-kerja awam projek ECRL tetapi sama ada mereka bumiputera atau tidak, kerajaan masih belum ditentukan,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Semalam, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia memohon kerajaan memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20 peratus kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Katanya, daripada 40 peratus kuota penglibatan syarikat tempatan Malaysia dalam projek tersebut, separuh daripadanya perlu diberikan kepada kontraktor bumiputera dan persatuan tersebut meminta supaya kuota khas diwujudkan.

Pengerusi Kehormatnya Datuk Mokhtar Samad berkata, kontraktor bumiputera sukar untuk bersaing atau berkongsi dengan syarikat tempatan lain sekiranya kuota khas tersebut tidak diwujudkan oleh kerajaan.

Pada 15 April lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 12 April.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Persatuan Kontraktor Bumiputera mahu kuota 20% kerja awal ECRL