KUALA LUMPUR – Rakyat semakin tertekan dengan bebanan taraf hidup apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa menaikkan tarif bil elektrik.
Kenaikan itu dianggap sebagai keterlaluan kerana ketika umat Islam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Wirawati Parti Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli memberitahu Malaysia Gazette, pihaknya menerima banyak aduan yang rata-rata terkejut dengan tarif baharu elektrik yang terlalu mahal dan naik secara mendadak.
Katanya, rakyat melahirkan rasa kecewa dan merasakan mereka ditipu oleh kerajaan PH yang berslogankan Malaysia Baharu.
“Sebelum ini, tarif elektrik untuk penggunaan domestik melebihi 300 kWj menerima diskaun RM1.80 sen untuk setiap kWj.
“Tetapi, selepas PH mengambil alih, bermula 1 Julai tahun lalu diskaun itu ditarik balik menyebabkan kadar peningkatan yang ketara sehingga rakyat terbeban dengan kenaikan itu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.
Menurut Dr. Asmah, tarif elektrik untuk penggunaan bukan domestik juga turut mengalami kenaikan sebanyak RM3.15 selepas surcaj iaitu pertambahan RM1.35.
Katanya, amat mengejutkan apabila kerajaan PH meluluskan surcaj kenaikan tarif bil elektrik untuk semua kedai dan industri.
“Paling menyedihkan kerajaan yang menjanjikan bulan bintang sebelum PRU 14 sekali lagi mengecewakan rakyat apabila mengumumkan kenaikan berganda RM2.55 sen untuk setiap kWJ bermula Mac tahun depan.
“Rakyat sangat terbeban dengan tarif kenaikan mendadak bil elektrik oleh TNB yang pastinya mengundang kos sara hidup meningkat,” katanya.
Beliau berkata, Parti Putra membantah keras kenaikan itu dan berharap TNB serta kerajaan PH membuat keputusan yang tidak membebankan serta mengutamakan kos sara hidup rakyat.
Ujar beliau, kekecewaan rakyat terhadap janji kerajaan PH seharusnya tidak dipandang sebelah mata.
“Jangan bebankan rakyat tanpa mencari solusi terbaik demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta TNB memberi penjelasan segera kepada rakyat yang kini hidup dalam keadaan tertekan dengan kenaikan tarif elektrik secara mengejut. – MalaysiaGazette