Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali terkejut dengan tindakan peguam Syazlin Mansur yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menarik diri dari prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu turut menyatakan kebimbangan dengan penarikan diri itu akan membatalkan tindakan memanggil semula saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Dr. Shahrom Abdul Wahid.

“Kita melihat wujud kebarangkalian unsur konspirasi dalaman untuk menyembunyikan keterangan pakar terutama Dr. Shahrom dalam keterangan awalnya membantah teori dua ahli pakar lain bahawa Muhammad Adib mati akibat kecederaan terjatuh dari kenderaan van EMRS,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Media melaporkan Syazlin memaklumkan perkara itu di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ketika prosiding baru bermula hari ini.

Dengan penarikan diri iru, secara automatik tindakan memanggil semula Prof Dr. Shahrom terbatal.

Ibrahim berkata, pada pertengahan April lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita dua doktor pakar forensik yang memberi keterangan dalam prosiding inkues Muhammad Adib telah membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya.

Mereka mendakwa telah diugut oleh pihak tertentu supaya mengubah keterangan dalam prosiding inkues berkenaan.

Namun sehingga kini, tegas beliau, polis dan Peguam Negara masih berdiam diri berkaitan laporan itu yang jelas berunsur jenayah dalam keadaan kematian dan prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib mendapat tumpuan utama masyarakat dan berprofil tinggi.

“Hal ini mencetuskan persoalan besar kepada Parti Putra, apa yang cuba disembunyikan oleh pihak tertentu dengan kematian Muhammad Adib.

Katanya, Putra menawarkan diri untuk bertemu dan berbincang dengan keluarga Allahyarham Muhammad Adib termasuk menawarkan khidmat nasihat guaman percuma bagi menjawab segala kemelut dan konspirasi yang sedang berlaku.

Dengan mandat dari keluarga itu nanti, Putra akan memastikan semua misteri yang menyelubungi kematian Allahyarham Muhammad Adib dapat membongkarkan tangan ghaib yang melindungi penjenayah sebenar.

“Tanpa mandat keluarga arwah, sukar untuk kita mengambil tindakan melalui guaman kerana tiada local standi.

“Oleh itu, Mohd Kassim boleh menghubungi kami segera bagi memberi mandat jika bersetuju. Allahyarham Muhammad Adib adalah mangsa keadaan dan kematiannya wajar dibela sebaiknya mengikut undang-undang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/27/inkues-adib-peguam-kpkt-bomba-tarik-diri/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast