Sesi fotografi Sarimah Ibrahim bersama suaminya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar pada Majlis Pengumuman Jantina Anak Sarimah Ibrahim di Neo Damansara, Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Sarimah Ibrahim bakal menimang anak perempuan pada Julai ini.

Sarimah berkata, perkhabaran jantina bakal anak sulung itu amat dinantikan kerana hidupnya dikelilingi lelaki selama ini.

“Saya anak sulung dalam keluarga dan mempunyai tiga adik-beradik lelaki. Jadi, saya sudah terbiasa dengan kehidupan yang sentiasa lasak.

“Apabila dimaklumkan saya bakal menimang anak perempuan, saya agak terkejut. Seronok rasanya, apatah lagi nanti boleh bersiap-siap dan menyarung pilihan pakaian yang pelbagai untuk puteri saya,” katanya.

Sarimah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman jantina anak dan pelancaran produk kecantikan Thrill by Sarimah Ibrahim Exclusively on Shopee, di sini semalam.

Sarimah berharap dia dapat melahirkan puterinya itu secara normal dan berdoa urusannya nanti dipermudahkan.

“Sepanjang kehamilan, bayi saya sentiasa mengiring dan posisi itu langsung tidak berubah. Kalau posisinya masih sama, berkemungkinan besar saya terpaksa melahirkannya secara pembedahan,” katanya.

Pada 1 Februari lalu, Sarimah mengumumkan bakal menimang cahaya mata pertama selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Irish itu mendirikan rumah tangga dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie pada 2 April 2015. – MalaysiaGazette